Tuesday, January 14, 2014

Hikayat Mereng Sentiasa.

Ada seekor Anak Panda yang telah ditinggalkan keluarganya kerana dia tersangatlah gemuk dan langkahnya terlalu perlahan, terlalu sukar untuk dia mengikut keluarganya berhijrah ke tempat yang lebih bagus. Sedang Anak Panda merayau di dalam hutan untuk mencari makanan, dia terserempak dengan keluarga Sang Ular. Oleh kerana kasihan melihat Anak Panda kepenatan dan kelaparan, Bapa Ular bersetuju untuk membantu Anak Panda. Semenjak itu, Anak Panda berkawan baik dengan Anak Ular.

Masa berlalu dan mereka meningkat dewasa. Anak Panda dan Anak Ular masih berkawan baik. Suatu hari, Anak Ular telah bertemu dengan Sang Buaya. Mereka bercinta dan berkahwin. Tinggallah Anak Panda sendiri. Oleh kerana dia ingin belajar berdikari, Anak Panda mengambil keputusan untuk berhijrah ke tengah hutan, tempat yang dipanggil lubuk duit tapi penuh dengan tipu daya. 

Sebelum Anak Panda berangkat, Anak Ular berpesan. "Di sana nanti, tolong berhati-hati. Jaga diri. Haiwan-haiwan di sana mungkin nampak baik di mata, tapi di hati belum pasti." Anak Panda mengangguk tanda faham dan dia pun mulakan perjalanan.

Tiba di tengah hutan, Anak Panda terpaksa bekerja untuk sesuap daun buluh dan tempat tidur. Setahun sudah berlalu, Anak Panda kini mampu untuk berdiri atas kaki sendiri. Walaupun tidaklah senang tapi mampu untuk biaya makanan dan tempat tinggal.

Suatu hari, Anak Panda bertemu dengan Sang Kucing. Melihat kesenangan Anak Panda, Sang Kucing mula mengambil kesempatan. Sang Kucing berkawan rapat dengan Anak Panda dan mula mengawal pergerakan Anak Panda. Pada mata Anak Panda, Sang Kucing sangat baik. Hinggalah suatu hari, Sang Kucing mula menunjukkan belang dan mula meminta-minta. Walaupun sudah agak terlambat, tapi Anak Panda akhirnya sedar dan cuba mengelakkan diri dari Sang Kucing. Walaupun sakit hati tapi mengenangkan nasihat Anak Ular, Anak Panda mulai pulih. Dia mula menjalani hidup seperti sedia kala. 

Tapi oleh kerana Anak Panda sangat gemuk dan otak agak lembab, akhirnya dia jatuh dalam perangkap haiwan lain pula. Setelah berkawan dengan Sang Lembu, Anak Panda mula lupa diri kembali. Dia terlupa segala pengalaman pahit dengan Sang Kucing dan juga pesanan Anak Ular. Sekali lagi dia terpedaya dengan kebaikan Sang Lembu. Mereka berkawan baik sehinggalah satu hari, Anak Panda mendapat tahu yang Sang Lembu telah menipu. Sedangkan dalam persahabatan seharusnya berlaku jujur dan ikhlas. Sang Panda berasa tersangat kecewa kerana segala kepercayaan telah diberikan kepada sahabatnya itu. Akhirnya, Anak Panda mengambil keputusan untuk hidup sendiri. Pedulikan haiwan-haiwan sekeliling asalkan perutnya penuh diisi dan hatinya tidak terus disakiti. 



Morale of the story: Trust is like a piece of paper, once it's crumpled it can't be perfect again.
Morale of the story II: Jangan jadi Anak Panda yang gemuk, nanti kena tinggal keluarga sebab jalan lembab sangat. Otak pun lembab.

No comments: